BONGKAR… Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terus bidas perangai kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tanpa segan-silu terus menjanjikan banyak harapan palsu baharu kepada rakyat.
Bekas perdana menteri itu turut mempertikaikan pentadbiran PH kerana janji-janji seratus hari yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada tahun lalu pun masih lagi gagal ditunaikan.
“Dia (PH) kata kalau menang di Cameron Highlands, dia janji pembangunan akan bertambah… janji seratus hari pun tak tunai, ini janji baru pula nak buat. Tuan-tuan jangan kena tipu dua kali, sekali cukup…
“Saya yakin kerajaan Pahang boleh bantu tuan-tuan dan kita jadikan pilihan raya ini sebagai satu titik kebangkitan semula Barisan Nasional (BN),” ujar Najib yang juga merupakan bekas Presiden UMNO dan Pengerusi BN.
Beliau yang hadir atas kapasiti Ahli Parlimen Pekan berucap dalam satu majlis ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Pos Sinderut sempena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram.
Dalam ucapannya, Najib turut tempelak PH kononnya jika mereka menang rakyat akan senang tetapi hakikatnya setelah menjadi kerajaan, hari ini rata-rata rakyat mengeluh kesan kenaikan harga barang.
Juga harga minyak yang tidak turun kepada RM1.50 seliter seperti yang dijanjikan, pemotongan bantuan sara hidup dahulunya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelbagai lagi skim kebajikan era BN terus dimansuhkan.
Jelas Najib lagi, ini berbeza sewaktu beliau menjadi perdana menteri, kerajaan BN sentiasa tegas dalam menjaga isu kebajikan dan kesejahteraan terutama dalam konteks masyarakat pribumi.
“Saya memang letak keutamaan yang tinggi pembangunan untuk masyarakat Orang Asli. Dalam kawasan Cameron Highlands sahaja sebagaimana Menteri Besar katakan tadi, lebih RM200 juta saya telah lulus untuk pembangunan Orang Asli.
“Perkampungan Sungai Ruil itu RM44 juta, hari ini mereka ada rumah yang tinggi nilainya tak payah bayar, ‘free’ kerajaan (BN) bagi. Pos Sinderut ini juga dapat jalan dengan perbelanjaan RM35 juta, dan ada tempat lain Pos Lenjang dan sebagainya.
“Yang lepas kita (BN) luluskan dia (PH) batalkan, lepas tu dia sambung balik kononnya dia punya jasa pula.. Ini lembu punya susu,” sindir Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan.
Selain itu BN turut ada pelbagai program untuk masyarakat Orang Asli seperti biasiswa pelajaran, pembinaan sekolah, rumah serta projek perkampungan Orang Asli secara berperingkat serta urusan pemilikan tanah.
Najib yang hadir ke Pos Sinderut atas permintaan masyarakat Orang Asli di situ seterusnya gesa mereka memilih calon BN, Ramli Mohd Nor yang merupakan anak tempatan dari etnik Semai demi maruah masyarakat pribumi.
“Kali ini kita ada peluang sebab calon kita buat kali pertama dalam sejarah politik tanah air calon daripada Orang Asli sendiri, daripada orang Semai, seorang yang berkelulusan tinggi, segak orangnya dan bekas pegawai polis tinggi.
“Pilihan raya ini bukan soal individu yang bertanding, ini soal maruah Orang Asli, buat pertama kali Orang Asli ada calon, bermakna kalau dia menang maruah Orang Asli terbela,” tegas Najib.
Ini kerana jelasnya, Ramli yang akan berada di dalam Dewan Rakyat mampu memperjuangkan masyarakatnya sendiri dan permasalahan yang dihadapi berbeza dengan calon PH, M.Manogaran. – Agensi/Mynewshub.TV