ORANG ramai yang mahu menjelaskan saman kesalahan trafik disarankan mengikuti saluran yang betul tanpa melalui ejen, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Azisman Alias.
Beliau berkata, ia adalah untuk memastikan saman tersebut sudah dijelaskan dan dipadamkan daripada sistem kesalahan trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Banyak kes berlaku melibatkan ejen persendirian di mana bila disemak balik dalam sistem, saman tersebut masih wujud walaupun ada resit dikeluarkan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Sesi Dialog bersama Jabatan Penguatkuasa Trafik di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak, Jalan Badruddin di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu.
Azisman berkata, tahun lepas beberapa individu yang terlibat dengan sindiket saman telah ditahan oleh pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan dikenakan tindakan.
“Mana-mana anggota polis yang didapati terlibat, tindakan disiplin yang sewajarnya akan dikenakan, tiada kompromi kerana kita tidak mahu lagi perkara sedemikian berlaku lagi,” katanya.
Azisman berkata tahun lepas kadar kutipan saman hanya mencapai kadar 40 peratus sahaja daripada 5.5 juta saman yang dikeluarkan di seluruh negara walaupun pihak polis telah menawarkan kadar diskaun saman sebanyak 50 peratus di balai-balai yang berdekatan.
Tawaran diskaun tersebut merangkumi semua jenis kesalahan trafik kecuali saman kemalangan, saman berstatus tiada kompaun (NC), saman OP Selamat tahun 2018, saman berstatus mahkamah dan saman berkaitan lori. – BERNAMA

