LEGA… Seorang individu yang hanya mahu dikenali sebagai Syed bersedia untuk serahkan buah pinggang miliknya kepada pelakon dan pelawak veteran, Ebby Yus.
Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 54, berkata maklumat itu diterima beliau daripada kenalan melalui komen dalam laman sosial Facebook baru-baru ini.
Dia yang bersyukur dengan hasrat baik lelaki itu bagaimanapun ingin bertemu lelaki berkenaan sebelum bersedia menerima pengorbanan insan itu.
“Saya amat bersyukur ada seorang insan yang tidak pernah saya kenali bersedia melakukan pengorbanan sebesar itu demi membantu saya.
“Walau bagaimanapun saya tidak boleh sewenang-wenangnya menerima bantuan itu. Saya berharap untuk bertemu dengan lelaki berkenaan dan mengenalinya terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru di ibu negara hari ini.
Terdahulu, Ebby menerima kunjungan Pemangku Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Shakib Ahmad Shakir dan Presiden Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi.
Ebby yang kini berdepan masalah jantung, buah pinggang, usus dan prostat telah menyebabkan kerjaya seninya terbatas.
Walaupun berada dalam keadaan tidak sihat, Ebby masih aktif dengan menerima tawaran muncul di program bual bicara dan sitkom komedi.
Berikutan keadaan kesihatannya yang beransur baik, Ebby menerima tajaan seorang kenalan rapat menaja untuk menunaikan umrah pada 28 Januari ini.
“Saya sedar dengan keadaan kesihatan agak terbatas. Tetapi saya tidak boleh melepaskan peluang seruan daripada Allah. Saya serahkan semua kepada Tuhan,” ujarnya. – K! ONLINE