MENANG… Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor disahkan menang ‘bergaya’ dengan raih undi besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands hari ini.
Keputusan rasmi PRK itu diumumkan sendiri oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ishak Md. Napis di dewan besar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata.
Ramli disahkan terima 12,038 undi manakala calon ‘kitar semula’ mewakili Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran dari DAP pula mendapat 8,800 undi, malah BN menang dengan jumlah majoriti jauh lebih besar iaitu 3,828 undi.
Sementara itu, dua orang lagi calon Bebas yang cuba nasib mereka, Sallehudin Ab. Talib dan Wong Seng Yee masing-masing cuma dapat 314 undi dan 276 undi, sekali gus hilang wang deposit pilihan raya tersebut.
Turut hadir pada majlis pengumuman itu ialah pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Secara keseluruhan, sejumlah 21,428 pengundi di kerusi P.078 itu tunai tanggungjawab mereka iaitu 68.79 peratus dengan 568 kertas undi rosak dan 23 kertas undi pula tidak dikembalikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.
PRK Cameron Highlands terpaksa diadakan semula selepas penyandangnya, Datuk C. Sivarraajh daripada BN hilang kelayakan bertanding konon didakwa rasuah oleh sebuah mahkamah di ibu negara pada 30 November tahun lalu.
Ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei tahun lalu, Sivarraaj dari parti MIC diumumkan sebagai pemenang waima dengan majoriti kecil hanya 597 undi apabila peroleh 10,307 undi dalam saingan lima penjuru.
Beliau berjaya mengalahkan Manogaran yang sekadar raih 9,710 undi dalam percubaan kali kedua selepas tewas semasa PRU ke-13 pada 2013 kepada calon BN waktu itu, Datuk Seri G. Palanivel. – Agensi/Mynewshub.TV

