KEKAL… Mahkamah Persekutuan di Putrajaya kekal keputusan Mahkamah Rayuan yang perintah bekas pemandu peribadi aktres, Zahida iaitu Noor Azman Azemi pulangkan wang RM200,000.
Ia berikutan selepas lelaki tersebut gagal dalam rayuan kes saman yang dikemukakan terhadap pelakon wanita itu kerana didakwa pernah fitnahnya kira-kira tujuh tahun lalu. Keputusan itu dibuat oleh panel lima hakim.
Ia diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Rohana Yusof dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh.
Dalam prosiding itu, panel berpuas hati bahawa keputusan dibuat Mahkamah Rayuan ketepi perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah betul ketika capai dapatannya sewaktu tolak tuntutan saman difailkan Noor Azman, 44.
Azahar yang membaca penghakiman sebulat suara berkata, rekod rayuan mendapati tiada kesilapan atau ketidakadilan yang diputuskan Mahkamah Rayuan terhadap defendan seperti yang didakwa plaintif.
Katanya, terdapat bukti yang meyakinkan dan berwibawa bahawa Zahida atau nama sebenarnya Zahida Mohamed Rafik, 43, mengamanahkan kepada plaintif RM200,000 untuk dimasukkan ke dalam akaun sebuah bank.
“Bagaimanapun plaintif gagal berbuat demikian. Selepas baca penghakiman Mahkamah Rayuan, mahkamah ini dapati aduan dibuat peguam plaintif (Noor Azman) adalah berikutan beliau gagal fahami terma penghakiman itu.
“Adalah salah untuk cadangkan Mahkamah Rayuan meminta plaintif untuk membuktikan pembelaan justifikasi, sebaliknya prinsip undang-undang ialah beban pembuktian terletak kepada defendan untuk buktikannya,” katanya.
Dalam prosiding tersebut, peguam terkenal Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Zahida manakala Latheefa Koya mewakili Noor Azman. – Agensi/Mynewshub.TV