BRITTANY – Beberapa pekerja kedai cermin mata di Brittany terperanjat apabila menerima pelanggan tidak diundang iaitu seekor alpaka yang merayau-rayau selama setengah jam di dalam premis itu.
Pekerja yang cemas kemudian mengunci pintu dan segera menghubungi polis selepas haiwan mamalia tersebut menceroboh masuk ke kedai berkenaan pada pukul 11 pagi, Jumaat lalu.
“Alpaka itu langsung tidak agresif, ia cuma merayau-rayau,” kata seorang pekerja kedai Les Opticiens Mutualistes di Hennebont’s Rue Nationale ketika memberitahu akhbar Le Telegramme.
Penduduk tempatan pada awalnya menyangka alpaka itu terlepas dari pertunjukan sarkas yang terletak berhampiran, namun pihak berkuasa berkata, pemilik alpaka tersebut hadir untuk menuntut haiwan peliharaannya tidak lama kemudian.
“Saya berharap ‘pelanggan berbulu’ ini telah diberikan diskaun dan baucar 10 peratus jika ia kembali lagi,” kata seorang netizen, Phil Chadwick selepas seorang jurugambar memuat naik gambar gelagat alpaka itu di Facebook. – Agensi