KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Syria maut selepas kereta yang dipandunya terbabas di Lebuhraya Persekutuan, berhampiran pusat membeli belah Mid Valley di sini, malam tadi.
Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 12 tengah malam apabila kereta yang dipandu menghala ke arah pusat bandar itu dikatakan hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke sebelah kanan dan melanggar tiang konkrit jejambat.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Supt Sarifudin Mohd Saleh berkata akibat kemalangan, Abdulsalam Mohamad Turkmani, 24, tercampak keluar dari kereta jenis Hyundai Sonata itu sebelum dihempap kenderaan berkenaan.
“Abdulsalam yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata penumpang dalam kenderaan berkenaan, yang dikenali sebagai Muhamad Al-Saraj tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya. – BERNAMA