JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor tidak akan tarik semula elaun dan pejabat yang diberikan kepada Ketua Pembangkang memandangkan ia satu daripada pengiktirafan pentadbiran berasaskan sistem demokrasi berparlimen.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata bagaimanapun tuntutan untuk menghadiri Majlis Mesyuarat Tindakan Daerah tidak dapat dipenuhi.
Katanya, sebagai Ketua Pembangkang, Datuk Ir Hasni Mohammad harus faham bahawa amalan demokrasi mempunyai had tertentu.
“Membenarkan kehadiran beliau dalam mesyuarat sedemikian seolah-olah kerajaan negeri yang ada pada hari ini adalah kerajaan campuran.
“Namun ini tidak bermakna kerajaan negeri tidak demokratik seperti yang didakwa, beliau masih dijemput hadiri program rasmi kerajaan antaranya program i-Move dan Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Osman berkata, beliau menasihatkan Hasni untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang yang berkesan dan tidak lagi dibayangi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (bekas Menteri Besar).
“Saya menganggap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pembangkang sepatutnya mengamalkan politik matang dengan memberikan kritikan membina seperti idea penambahbaikan untuk Belanjawan Johor 2019 yang dibentangkan baru-baru ini.
“Tetapi beliau sebaliknya berhasrat untuk memulangkan segala kelebihan yang diterima sebagai Ketua Pembangkang, tindakan yang saya lihat lari daripada tanggungjawab dan amanah diberikan,” katanya.
Menurutnya, amalan demokrasi yang diamalkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan pada masa ini lebih baik berbanding sistem demokrasi dipraktikkan kerajaan negeri terdahulu. – BH ONLINE

