PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan memberi jaminan tidak berlaku pertindihan kuasa dalam menyiasat kes kemalangan semua mod pengangkutan dengan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB), tahun depan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata penubuhan MTSB akan membolehkan siasatan yang lebih komprehensif dan punca kemalangan dikenal pasti dengan lebih tepat, membabitkan semua mod pengangkutan.
“Penubuhan MTSB akan menambah baik kualiti penyiasatan semua mod pengangkutan,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Keretapi Tanah Melayu Bhd.
Pada masa ini, katanya aspek jenayah dan pelanggaran Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam kemalangan disiasat pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala aspek teknikal disiasat MIROS.
Bulan lepas, Loke mengumumkan penubuhan MTSB seperti yang disyorkan Panel Kaji Semula Syor, sebuah panel bebas yang diwujudkan kementerian, yang mencadangkan keperluan penubuhan agensi khas bagi menyiasat kemalangan pengangkutan di seluruh negara.
Menegaskan penubuhan MTSB tidak akan melibatkan pertambahan peruntukan besar, Loke berkata: “Kerajaan baharu tidak mahu menambah beban kewangan kerajaan. Kita akan cuba menstruktur semula tugas-tugas.”
Loke berkata cadangan penubuhan MTSB akan dikemukakan ke kabinet pada pertengahan tahun depan untuk persetujuan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Kementerian sedang merapikan rang undang-undang itu. Dari segi prinsip, kita sudah bersetuju bahawa ia akan digubal dalam beberapa bulan lagi,” katanya.
Berhubung MoU hari ini, Loke berharap ia boleh mendorong semua ke tahap penyelidikan dan perkongsian akademik yang lebih tinggi dalam bidang pengangkutan di negara ini. – BERNAMA

