MELAKA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Melaka telah melucutkan hak berjumlah RM645,732.98 melibatkan agensi dan orang awam di negeri itu dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.
Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Melaka Ahmad Faizul Abdul Rashid berkata antara kes pelucutan hak itu melibatkan Pusat Pembangunan dan Keusahawanan Kemahiran Perindustrian Melaka dan individu memberi rasuah kepada penjawat awam.
Beliau berkata dalam tempoh itu juga, 22 kertas siasatan dibuka melibatkan pelbagai dakwaan termasuk salah guna kuasa dan rasuah.
“Kami menerima kira-kira 184 maklumat atau aduan melibatkan pelbagai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah dalam tahun ini namun hanya 22 kertas siasatan dibuka selepas penyiasatan dan analisis awal secara terperinci dilakukan.
“Jumlah maklumat diterima itu menunjukkan kesedaran orang awam terhadap amalan rasuah atau salah guna kuasa di negeri ini semakin meningkat dari semasa ke semasa dan kami mengalu-alukan sebarang maklumat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Walkabout Perdana sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2018 di sini, hari ini.
Program berkenaan yang disertai kira-kira 100 sukarelawan SPRM negeri dirasmikan Timbalan Pengarah Operasi SPRM Melaka Bahrudin Suib.
Ahmad Faizul berkata aspek pencegahan SPRM Melaka akan memberi fokus terhadap pendidikan dalam kalangan kanak-kanak prasekolah sehingga pelajar di peringkat universiti dalam usaha menanam kesedaran tentang pencegahan amalan rasuah.
“Kami juga akan memperkenalkan pindaan baharu akta iaitu 17A, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berkaitan tanggungjawab korporat yang kalau sebelum ini kami caj kepada individu kalau syarikat swasta, tetapi kali ini ahli lembaga pengarah syarikat itu sendiri boleh dikenakan tindakan,” katanya. – BERNAMA

