TEGAS… Usia minimum bagi individu beli, guna, miliki, jual dan bekalkan produk tembakau di Singapura akan dinaikkan daripada 18 kepada 19 tahun mulai 1 Januari depan.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha pemerintah untuk secara bertahap-tahap naik usia minimum merokok kepada 21 tahun dalam tempoh tiga tahun setelah diluluskan di Parlimen pada November lalu.
Ini juga sebagai sebahagian daripada Rang Undang-Undang (Pindaan) Tembakau (Kawalan Pengiklanan dan Penjualan). Usia minimum itu akan naik kepada 20 tahun pada 1 Januari 2020 dan 21 tahun setahun kemudian.
“Meningkatkan usia minimum adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk pertingkat tahap kesihatan awam dan kurang tabiat merokok di Singapura,” menurut MOH dalam kenyataan media.
“Ia bertujuan untuk cegah belia daripada memulakan tabiat merokok dengan mengehadkan akses mereka kepada produk tembakau dan mengekang kebiasaan merokok, khususnya bagi mereka yang berusia bawah 21 tahun.”
Para peruncit yang menjual sebarang produk tembakau kepada sesiapa di bawah usia minimum itu boleh didenda sehingga S$5,000 (RM15,200) bagi kesalahan pertama dan S$10,000 (RM30,400) bagi kesalahan seterusnya.
Selain itu, lesen jual tembakau juga akan digantung bagi kesalahan pertama dan ditarik balik bagi kes seterusnya. Individu yang bekalkan produk tembakau kepada mereka di bawah usia minimum berkenaan juga akan didenda.
Mereka yang didapati membeli atau mendapatkan produk tembakau bagi sesiapa di bawah usia minimum boleh didenda sehingga S$2,500 (RM7,600) bagi kesalahan pertama dan S$5,000 bagi ulangan kesalahan seterusnya.
Bagi mereka yang didapati memberi produk tembakau kepada individu bawah usia minimum pula, mereka boleh didenda sehingga S$500 (RM1,520) bagi kesalahan pertama dan S$1,000 (RM3,040) bagi kesalahan selanjutnya.
Perokok bawah usia yang didapati guna, beli atau miliki produk tembakau boleh didenda sehingga S$300 (RM910). Usaha Pemerintah untuk mengurangkan tabiat merokok di Singapura termasuk pengenalan beberapa langkah lain.
Para perokok dari semua peringkat usia yang ingin merokok di Orchard Road, destinasi beli-belah terkenal di republik ini hanya boleh berbuat demikian di sekitar 40 ‘kawasan khas merokok’ mulai 1 Januari 2019.
Ia adalah sebahagian daripada Zon Larangan Merokok di Orchard Road. Sudut-sudut merokok di pusat-pusat makanan dan runcit dalam Zon Larangan Merokok juga akan dibatalkan menjelang 31 Disember depan.
Secara berasingan, MOH mengumumkan pada awal tahun ini bahawa ia akan perkenal bungkusan seragam bagi semua produk tembakau dijual di Singapura memaparkan grafik amaran kesihatan meliputi 75 peratus paket.
Kementerian itu bercadang untuk bentang pindaan yang disarankan ke atas undang-undang sedia ada pada awal tahun depan. Jika diluluskan, langkah baharu itu mungkin dikuatkuasakan mulai 2020. – Agensi/Mynewshub.TV