POLIS di New York sedang mencari sepasang kekasih yang mengikat pertunangan di Times Square pada Jumaat lalu tetapi cincin mereka jatuh ke celah longkang.
Imej CCTV menunjukkan pasangan romantik cuba mengambil semula cincin yang jatuh itu tetapi tidak berjaya.
Selepas melihat rakaman itu, pihak polis New York berjaya mendapatkan cincin itu dan membersihkannya dan kini mencari pemiliknya.
Jabatan Polis New York (NYPD) merayu pasangan itu menemui mereka.
Rakaman CCTV itu diambil sebelum tengah malam Jumaat dan disebarkan pihak polis kemudian.
Rakaman menunjukkan lelaki itu melutut dan cuba mencari cincin itu, manakala wanita itu kelihatan terkejut, walaupun tidak dapat dipastikan sama ada dia menjawab “Ya.”
Wanita itu cuba membantu menarik keluar cincin yang jatuh itu tetapi tidak berjaya.
Walaupun demikian, pihak NYPD yang melihat rakaman itu berusaha mendapatkan cincin itu dan berjaya.
Selain rakaman video itu, pihak NYPD juga menunjukkan gambar sebentuk cincin yang telah dibersihkan di akaun Twitter mereka, dengan kata-kata: “Inilah gambar cincin yang diselamatkan pegawai kami (dan dibersihkan!) Hubungi 1-800-577-TIPS atau DM @NYPDTips jika anda mengenali pasangan bahagia itu supaya kami dapat memulangkannya semula.” – BBC

