KLUANG – Seorang penunggang maut manakala dua rakannya cedera parah selepas sebuah kereta merempuh dua motosikal di KM82, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Machap, dekat sini, tengah malam tadi.
Dalam kemalangan jam 12.05 tengah malam itu, mangsa Mohammad Afiq Jamain, 23, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemboncengnya, Mohd Rafiqi Borhan, 21, dan seorang lagi penunggang motosikal, yang juga rakan mereka, Mohamad Fazrulazmi Saadon, 22, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohd Abduh Ismail hari ini berkata pemandu berusia 50 tahun itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.
Kesemua mangsa cedera dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta dari arah Ayer Hitam itu tiba-tiba hilang kawalan dan terus memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh dua motosikal berkenaan.
Mohd Abduh berkata jenazah Mohammad Afiq dituntut anggota keluarganya selepas proses bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Renggam, pagi tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan, katanya. – BERNAMA

