KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) hari ini melancarkan Buku Mewah ‘100 Years & Beyond’ sempena Majlis Malam Apresiasi PPM 2018.
Ketua Pengakap Negara Tan Sri Shafie Mohd Saleh berkata buku mewah itu memaparkan sejarah dan falsafah 100 tahun penubuhan unit beruniform itu sejak diperkenalkan di sini sekitar tahun 1908.
“Buku mewah ini ibarat sebuah khazanah berharga yang mencatat segala peristiwa penting serta falsafah di sebalik penubuhan pengakap di negara ini sebelum merdeka sehinggalah sekarang.
“Buku ini akan menjadi sumber rujukan kepada semua ahli khususnya generasi muda dan masyarakat umumnya,” katanya kepada Bernama pada majlis yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa dekat Cheras, malam ini.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mej Jen (B) Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin dan Ketua Pegawai Eksekutif PPM Datuk Raja Ruslan Raja Samah.
Buku mewah setebal 163 muka surat yang berharga RM200 senaskah itu antara lain turut memaparkan kompilasi gambar, peristiwa dan perkongsian cerita oleh ahli pengakap.
Pada majlis tu, 19 individu dan beberapa kumpulan pengakap diberi pengiktirafan menerusi 30 anugerah atas khidmat cemerlang serta sumbangan mereka dalam pertubuhan beruniform itu sepanjang tahun 2017 dan 2018.
Sementara itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan akhbar Sinar Harian turut menerima sijil penghargaan khas media. – BERNAMA
