KEMAMAN – Impian dua adik beradik yang bekerja sebagai pembalak untuk menyambut Krismas di kampung mereka di Sarawak hampir berkecai selepas terperangkap selama 29 jam di dalam hutan sebelum diselamatkan oleh anggota bomba hari ini.
“Impian kami dua beradik untuk pulang ke Lawas, Sarawak bagi menyambut ketibaan Hari Krismas hampir berkecai apabila kami dan empat lagi rakan terperangkap di dalam hutan,” kata William Ligang, 37.
Beliau dan adiknya, James, 33 bersama empat pembalak yang lain tidak menyangka akan terperangkap di dalam Hutan Simpan Cerul selama 29 jam setelah kenderaan pacuan empat roda mereka rosak ketika dalam perjalanan pulang semalam.
William berkata mereka telah menempah tiket pulang ke Sarawak pada 15 Disember (esok) dan hampir putus harapan apabila terpaksa berjalan kaki dan mengharungi beberapa sungai yang deras akibat musim tengkujuh untuk menyelamatkan diri.
“Bayangkan, untuk mengharungi sungai pertama, kami terpaksa menunggu 10 jam sebelum ia surut… begitu juga dengan beberapa sungai lain, terpaksa tunggu arusnya perlahan sebelum kami boleh meneruskan perjalanan,” katanya yang bercadang untuk bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini dengan menaiki teksi.
Empat lagi pembalak lain yang diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Cheneh itu ialah Alister Sinawat Ukul, 23; Mohd Ghani Ismail, 38; Ab Sani Abd Khalid, 37 dan Mohd Hariri Hasan, 37.
Bagi Mohd Ghani pula, pengalaman terpaksa berjalan kaki sejauh 53km dari tempat pembalakan dari pukul 1 tengah hari semalam dalam keadaan lapar, dahaga dan letih sangat menguji kesabaran mereka.
“Bermacam-macam perkara berlegar dalam fikiran kami, namun minda kami masih positif dan yakin akan diselamatkan untuk pulang ke pangkuan keluarga.
“Kami terpaksa minum air di kaki bukit yang kotor dan berjalan dalam keadaan lapar sehingga menemui sebuah rumah kongsi yang memberi bantuan makanan dan membuat panggilan kecemasan kepada pihak bomba,” katanya.
Beliau yang bertugas sebagai penyelia di kawasan pembalakan itu berkata kesemua mereka sudah berada di dalam hutan itu sejak dua bulan lalu dan memutuskan untuk keluar setelah cuaca semakin buruk.
Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azmi Ab Rahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 2 petang tadi dan menghantar sembilan anggota dan seorang pegawai JBPM Balai Cheneh untuk operasi tersebut.
“Operasi menyelamat enam pembalak ini mengambil masa tiga jam. Cabaran operasi kali ini ialah arus sungai yang sangat deras dengan kayu balak yang hanyut menyukarkan perjalanan anggota bomba.
“Oleh itu, saya berharap agar peneroka-peneroka balak yang masih meletakkan pekerja mereka di dalam hutan agar segera mengeluarkan mereka supaya kes terperangkap seperti ini tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA