SEPANG – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi mempertimbangkan sukan bina badan disenaraikan pada Sukan SEA Manila tahun depan.
Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau akan berjumpa Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria pada Rabu ini, bagi membincangkan secara lanjut mengenai perkara itu.
Kali terakhir bina badan dipertandingkan pada Sukan SEA adalah pada edisi 2013 di Myanmar, dengan pencapaian skuad negara meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa.
“Saya akan bekerjasama dengan Persatuan Bina Badan Malaysia (PBBM) untuk mempertimbangkan sukan bina badan dipertandingkan semula di Sukan SEA.
“Pencapaian mereka di Kejohanan Dunia baru-baru ini, sangat membanggakan. Saya percaya atlet bina badan boleh menyumbang pingat emas pada Sukan SEA sekiranya sukan itu dipertandingkan,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan atlet bina badan negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, di sini hari ini.
Atlet bina badan negara menyumbang empat pingat emas keseluruhan menerusi Lilian Tan yang meraih dua emas kategori 55kg ke atas dan masters 30 tahun ke atas; Syarul Azman Mahen Abdullah (satu emas kategori fizik 167 sentimeter) dan atlet Sarawak, Buda Anchah menyumbang emas kategori masters 40-50 tahun di Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Chiang Mai, Thailand, minggu lepas.
Syarul Azman juga muncul atlet pertama dunia meraih gelaran hatrik dalam kategori berkenaan.
Syed Saddiq berkata kesemua pemenang pingat akan menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) bernilai RM20,000 untuk pingat emas, RM10,000 (perak) dan RM5,000 (gangsa). – BERNAMA

