KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) perlu berusaha lebih keras mencari penajaan dalam mempersiapkan pasukan The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Premier musim depan.
Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata persatuan itu memerlukan penajaan sebanyak RM5 juta bagi menampung perbelanjaan pasukan TRW untuk memberi saingan kepada pasukan lain.
“Kini kami mempunyai tajaan berjumlah RM2 juta, merangkumi wang tunai dan barangan kelengkapan pasukan berupa jersi serta alatan sukan.
“Kami masih perlukan RM3 juta, maka kami mempelawa anak-anak Kelantan atau syarikat korporat yang berminat supaya segera tampil menghubungi KAFA untuk melakukan penajaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan Pasukan Kelantan di sini, hari ini.
Bibi Ramjani berkata dengan masa hanya tinggal sebulan, pihaknya perlu bekerja keras bagi memastikan jumlah tajaan pasukan itu mencukupi.
“KAFA tidak boleh berpeluk tubuh, kami perlu mencari penaja kerana untuk mendapatkan penajaan amat sukar terutama bagi pasukan bermain dalam saingan Liga Premier.
“Kami sedang berunding dengan dua syarikat untuk menjadi penaja utama pasukan Kelantan musim depan dan sedikit lega apabila penaja musim lalu Yakult (M) Sdn Bhd bersetuju menaja pemain import untuk beraksi bersama Kelantan,” katanya.
Dari aspek pemain, beliau berkata pasukan Kelantan hanya memerlukan dua lagi pemain import bagi memperkuatkan pasukan TRW pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) khususnya Liga Premier selepas hanya mengekalkan seorang pemain import musim ini, Cassio De Jesus dari Brazil.
“Pemain tempatan, kami kekalkan 80 peratus pemain musim ini, dan akan mendapatkan khidmat pemain tempatan di beberapa posisi antaranya penjaga gol dan penyerang.
“Setakat ini, kita mempunyai lebih 20 pemain tempatan untuk diuji, namun kami hanya mahu pemain yang di bawah umur 30 tahun,” katanya. – BERNAMA