GEORGE TOWN – Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang jika mendapati ada mana-mana stesen minyak yang tidak mematuhi undang-undang ditetapkan iaitu berkaitan bekalan bahan api.
Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata bahan api seperti petrol dan diesel telah diwartakan sebagai barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 21 Jun 1975.
“Oleh itu, KPDNHEP negeri akan memastikan pembekalan barang berjadual di negeri ini akan sentiasa ada di pasaran dan mudah diperoleh oleh pengguna setiap masa,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan bekalan petrol dan diesel di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini hari ini.
Mohd Ridzuan turut mengingatkan pemegang lesen runcit dan bahan api diesel supaya mematuhi peraturan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Kegagalan mereka untuk berbuat demikian akan disabitkan kesalahan di bawah Peraturan 21, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Dalam pada itu, KPDNHEP negeri telah memeriksa sebanyak 102 daripada 202 buah stesen minyak di seluruh negeri ini sejak 27 Dis lepas dan memberi jaminan bahawa bekalan kedua-dua bahan api itu adalah mencukupi.
“Sehingga kini sebanyak 50 peratus pemeriksaan telah kita buat di stesen-stesen minyak di seluruh Pulau Pinang dan bakinya akan kita lakukan sehingga 6 Jan depan,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa pengguna bakal berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan petrol dan diesel menjelang 1 Jan ini seperti yang disiarkan media baru-baru ini. – BERNAMA

