BONGKAR… Gagasan Tiga (G3) hari ini mendedahkan berlaku gejala ketidakadilan dalam agihan Peruntukan Khas Ketua Menteri Pulau Pinang antara tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Pertubuhan bukan kerajaan tersebut malahan mendakwa, sebahagian besar daripada peruntukan berkenaan hanya diberikan kepada satu kaum tertentu sahaja, sekali gus berjaya meminggirkan kaum-kaum lain di negeri itu.
Perkara aneh tersebut dibongkarkan oleh Timbalan Pengerusi G3, Amran Ahmad yang mendakwa beliau menerima dokumen berkaitan isu ‘panas’ peruntukan berkenaan menerusi pihak tidak dikenalinya pada 22 Disember lalu.
Isi kandungan dokumen itu yang dimasukkan ke dalam peti surat rumahnya boleh cetus ketegangan antara kaum jika terdedah kepada umum memandangkan agihan peruntukan untuk kaum yang ada di negeri ini tidak seimbang.
“Saya tidak mahu sebarkan dokumen tersebut, jadi saya ke balai polis terlebih dahulu untuk membuat laporan polis mengenai kandungan dokumen itu, sama ada ia benar atau tidak, biarlah pihak polis sendiri yang akan tentukan.
“Sebagai bekas Pegawai Khas Ketua Menteri terdahulu, saya melihat ada logik dan kebenarannya kandungan dokumen tersebut yang mana peruntukan Ketua Menteri sebahagian besar diberikan hanya untuk satu kaum.
“Manakala kaum lain termasuk kaum majoriti negara ini iaitu Melayu dan etnik minoriti India pula kurang dapat peruntukan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri,” katanya dalam nada kesal ketika ditemui media.
Terdahulu, Amran bersama-sama dengan beberapa ahli G3 hadir membuat laporan polis berhubung laporan kontroversi dokumen tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di George Town hari ini.
Menurutnya, bagaimanapun beliau tetap bersangka baik dengan berpendapat kemungkinan besar masih ada lagi peruntukan untuk kaum Melayu dan India pernah disalurkan menerusi dua Timbalan Ketua Menteri sedia ada.
Dalam pada itu, Amran berkata, beliau bimbang jika trend agihan peruntukan sebahagian besarnya diberikan kepada cuma satu kaum tersebut diteruskan oleh pihak kerajaan negeri pada masa ini. – Agensi/Mynewshub.TV