KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera parah di bahagian kepala dan bahu dipercayai ditetak dengan kapak ketika cuba disamun di sebuah bank di Taman Sri Sinar, Segambut, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun yang hendak mengeluarkan wang telah dihampiri seorang lelaki dan dipaksa mengeluarkan sejumlah wang.
Menurutnya, mangsa bertindak melawan dan berlaku pergelutan sebelum suspek kemudiannya melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur oleh ambulans untuk menerima rawatan. Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, polis telah menahan dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 33 tahun pada pukul 10 malam ini bagi membantu siasatan, katanya. – BERNAMA