MUAFAKAT… Lebih 1,000 ahli pesilat dari seluruh negara yang menyertai #DaulatHimpunan812 berarak secara aman mulai Masjid Wilayah Persekutuan ke Istana Negara di ibu kota hari ini.
Terdahulu kesemua mereka yang terdiri daripada 313 persatuan silat seluruh negara berhimpun di masjid tersebut sejak awal pagi tadi sebelum memulakan perarakan berjalan kaki ke Istana Negara pada pukul 10.25 pagi.
Sambil memegang sepanduk dan bendera warna hitam tertera kalimah La ilah ha illallah Muhammadur rasulullah, mereka lengkap berbaju Melayu turut berselawat sepanjang perjalanan diiringi dengan pasukan polis trafik.

Difahamkan Pertubuhan Gabungan Silat Mempertahankan Perlembagaan (Pertahan) menyerahkan memorandum bantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Ia disampaikan terus kepada wakil Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di pekarangan pintu masuk hadapan istana tersebut selepas sekumpulan peserta tampil melakukan persembahan pencak silat secara ringkas.
Hari ini, secara kebetulan kawasan sekitar Dataran Merdeka dipenuhi puluhan ribu peserta #DaulatHimpunan812 bagi zahir kesyukuran atas tindakan kerajaan terpaksa mengalah tidak ratifikasi ICERD. – Agensi/Mynewshub.TV

