SEMPORNA – Jabatan atau agensi yang berada di bawah kerajaan persekutuan di Sabah perlu memaklumkan kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah (KPI) jika ingin melakukan sebarang bentuk pengubahsuaian struktur bangunan termasuk hospital.
Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata pemberitahuan itu penting bagi kementerian untuk menyelaraskan penambahan infrastruktur seperti bekalan air atau kapasiti elektrik untuk menampung kadar penggunaan yang baharu.
“Misalnya, berlaku masalah air di Hospital Semporna dan hasil pemeriksaan perkara ini berlaku bukan berpunca daripada jabatan air tetapi pengawasan sebelum ini.
“Kapasiti air untuk hospital sebelum ini adalah kecil tetapi di ubahsuai iaitu naik taraf hospital tersebut tidak dimaklumkan kepada jabatan air, sedangkan keperluan air di hospital selepas pengubahsuaian telah lebih,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak tangki baharu Hospital Semporna di sini, sempena lawatan kerja rasminya ke Semporna hari ini.
Hadir sama pada lawatan itu Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew.
Pada Jun lepas, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Stephen Wong Tien Fatt membawa isu kekurangan air di Hospital Semporna ke dalam mesyuarat kabinet negeri.
Ekoran itu, Peter turun padang melihat sendiri permasalahan bekalan air itu dan mengarahkan Jabatan Air Negeri melaksanakan tindakan segera bagi mengatasi masalah yang berlanjutan lebih tiga tahun lalu.
Hari ini, Peter menyerahkan projek siap iaitu empat tangki simpanan baharu yang menampung 160,000 liter air sehari untuk kegunaan hospital yang beroperasi sejak dua minggu lalu, kepada wakil Hospital Semporna. –BERNAMA