MENUMBOK – Usaha membanteras penyeludupan khususnya rokok dan minuman keras perlu diperhebat kerana kegiatan itu masih berleluasa di negara ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Seri Zulkifli Yahya.
Katanya dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, jabatan itu merekodkan 2,458 kes penyeludupan rokok di seluruh negara dengan rampasan bernilai RM58.30 juta dan cukai terlibat RM517.97 juta.
“Dalam tempoh yang sama, kastam juga merekodkan sebanyak 1,250 kes penyeludupan minuman keras di seluruh negara yang melibatkan nilai sebanyak RM23.72 juta dengan nilai cukai terlibat sebanyak RM125.71 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Khidmat Bakti Masyarakat JKDM Zon Sabah, di sini hari ini.
Pada masa sama, katanya JKDM juga perlu meningkatkan penguatkuasaan bagi mencegah ketirisan terutama semasa peralihan daripada sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan.
“Membanteras penyeludupan dan ketirisan adalah sangat penting kerana kita perlu menyelesaikan ‘refund’ sebanyak RM18 bilion, jadi antara cara untuk menampung kos tersebut adalah dengan membanteras penyeludupan dengan hasil diperoleh boleh digunakan untuk menampung sebahagian kos refund,” katanya. – BERNAMA

