KOTA KINABALU — Kerajaan Negeri akan menubuhkan satu badan bagi menjalankan kajian terperinci berhubung langkah mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sebelum keputusan mengenai perkara itu diambil, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Mohd Shafie berkata beliau sendiri akan mempengerusikan badan itu, yang akan dianggotai oleh Kementerian Pembangunan Infrastruktur; Jabatan Kerja Raya; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hashim Paijan yang akan berperanan melihat sama ada wajar atau tidak Kerajaan Negeri mengambil alih syarikat utiliti berkenaan.
Kajian itu juga akan memastikan situasi menang-menang bukan hanya untuk Kerajaan Negeri tetapi juga Kerajaan Persekutuan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Kerajaan Negeri perlu melihat dan memutuskan beberapa pilihan yang ada terlebih dahulu sebelum keputusan mengambil alih SESB dikemukakan kepada pihak berwajib di peringkat pusat selewat-lewatnya tahun hadapan.
“SESB mempunyai banyak masalah dan liabiliti, bagaimanapun, Kerajaan Negeri sedar akan keperluan meningkatkan keupayaan dalam usaha menarik pelabur ke Sabah dengan memastikan bekalan air dan elektrik sentiasa konsisten dengan harga berpatutan,” katanya pada persidangan media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Mohd Shafie berkata Menteri Tenaga; Teknologi; Sains; Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin bersama rombongan termasuk wakil daripada TNB dalam pertemuan mereka pada Oktober lepas turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mengambil alih SESB.
Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata, Kerajaan Negeri meminta Jabatan Kewangan Negeri dan Peguam Negeri supaya meneliti secara mendalam perjanjian konsesi air bagi memastikan kesemua perjanjian konsesi adalah adil dan saksama.
Pada Selasa, Kementerian Pembangunan Infrastruktur memaklumkan kementerian itu kini dalam peringkat akhir untuk meneliti semula perjanjian bersama kontraktor air dibuat sebelum ini bagi mengurangkan kos yang perlu dibayar Kerajaan Negeri kepada syarikat terlibat.
Kementerian itu turut mendedahkan sebanyak enam syarikat menandatangani kontrak itu selama 20 tahun bagi mengurus bekalan air tidak mampu menyelesaikan masalah air di Sabah.
Kerajaan Negeri juga dijangka boleh mengurangkan jumlah kos diberikan kepada kontraktor sehingga RM1 bilion jika kontraktor dilantik diambil atau diselia oleh kementerian. — BERNAMA