KUALA LUMPUR – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dipanggil bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, esok.
Sumber SPRM berkata selain Rosmah, turut dipanggil ialah bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor.
“Kedua-dua mereka diarahkan hadir ke pejabat SPRM pada 9.30 pagi esok bagi membantu kes penyelewengan membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Pada awal Jun, sebuah portal melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.
Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.
Sumber itu juga berkata selain Rosmah dan Rizal, turut dipanggil memberi keterangan esok adalah bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Bagaimanapun, Tengku Adnan diminta hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 2 petang bagi membantu siasatan kes 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seluas lebih 273 hektar bernilai RM5.63 bilion semasa beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut. – BERNAMA