PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia dalam proses mengumpul maklum balas pemain industri berhubung cadangan pelaksanaan sistem levi pelbagai peringkat dalam pengambilan pekerja asing, kata Menterinya M. Kula Segaran.
Beliau berkata, sistem itu yang dilaksanakan di Singapura memberi kemudahan kepada majikan menentukan jumlah pekerja asing yang ingin digajikan tanpa perlu mendapatkan perakuan daripada Menteri atau Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia.
“Selain mengurangkan karenah birokrasi dan mengelak kemasukan pekerja asing tanpa diketahui siapa majikannya, sistem permohonan secara dalam talian ini juga memberi lebih kebebasan kepada majikan mencari sendiri pekerja berdasarkan jumlah yang diperlukan sahaja,” katanya.
“Dasar itu memberi kelonggaran untuk menggajikan pekerja asing kepada syarikat, namun kerajaan mengawal hal itu berdasarkan levi yang dikenakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sesi Town Hall Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Kula Segaran berkata cadangan itu dibangkitkan dalam beberapa siri pertemuan bersama pemain industri dan telah dimaklumkan kepada pemegang taruh untuk diperincikan serta diberi maklum balas kepada Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing yang ditubuhkan kementeriannya.
Beliau juga berkata kementeriannya sedang mengkaji pelaksanaan sistem bon bagi pengambilan pekerja asing dalam usaha menangani kes pekerja asing lari daripada majikan.
Menurutnya, konsep yang diamalkan kerajaan Singapura itu dilihat berkesan dalam pengendalian pekerja asing hingga menjadikan kes pekerja lari daripada majikan sangat rendah berbanding isu sama yang dihadapi majikan di negara ini.
Melalui sistem itu, Kula Segaran berkata majikan perlu membeli insurans bagi setiap pekerja asing yang diambil bekerja dan jika pekerja itu lari, bon berkenaan akan dilucutkan kerajaan.
Ketika ini, kerajaan menggunakan sistem bon antara RM300 hingga RM1,500, antaranya bagi menghantar pekerja asing pulang jika tempoh tamat kerja di negara ini berakhir.
“Bagaimanapun, dalam industri ini kita perlu self regulation, bermakna majikan memberi bon, contohnya RM1,000 atau RM2,000 yang mana perlu dibeli daripada syarikat insurans, mungkin pada kadar RM50 atau RM100 bagi seorang pekerja.
“Jika pekerja lari, bon itu akan dilucut hak oleh kerajaan dan syarikat insurans akan meningkatkan premium selepas itu,” katanya.
Dalam pada itu, Kula Segaran berkata Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing perlu menyerahkan laporan lengkap maklumat yang dikumpul daripada sesi town hall kepada Jawatankuasa Bersama yang dipengerusikannya bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum akhir bulan ini (November) bagi diangkat ke mesyuarat jemaah menteri.
Jawatankuasa bebas yang dipengerusikan Datuk Seri Mohd Hishamuddin Md Yunus itu telah melaksanakan 11 daripada 13 keseluruhan sesi town hall sejak 9 Okt lepas, dengan 28 memorandum dan 550 maklum balas diterima daripada 3,666 peserta dari kalangan pihak berkepentingan.
“Jawatankuasa bebas ini berperanan melihat secara menyeluruh mengenai dasar dan pengurusan pekerja asing di negara ini bagi tujuan penambahbaikan selaras dengan usaha kerajaan memantapkan pengurusan pekerja asing supaya lebih telus, cekap dan berkesan,” katanya. – BERNAMA