PUTRAJAYA — Semua pihak perlu akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya semua papan tanda jalan di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggalkan dan digantikan dengan papan tanda menggunakan hanya bahasa Melayu, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.
Mengulas arahan baginda itu, Khalid yang juga Anggota Parlimen Shah Alam berkata keputusan berkaitan papan tanda berkenaan adalah di bawah bidang kuasa negeri.
“Adalah rasional apabila nama jalan ini dikekalkan dengan tulisan bahasa Melayu bagi memudahkan rakyat untuk membacanya,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Arahan itu disampaikan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dengan salinan kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.
Penukaran papan tanda itu hendaklah dilakukan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan ulang tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan pada 11 Disember depan. – BERNAMA