JELAS… Gara-gara Datuk Seri Najib Tun Razak jawab tidak mengesahkan sumber mana dana RM2.6 bilion semasa interviu Aljazeera baru-baru ini…timbul dakwaan konon beliau berbohong.
Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu tampil menerusi Facebook live lewat semalam selama 12 minit untuk menjelaskan mengenai jawapan yang mencetuskan keraguan ramai pihak mengenai isu derma tersebut.
Sambil menegaskan beliau tidak curi wang daripada akaun dana 1MDB, Najib bertegas bahawa jawapan tersebut telah diputar belit pihak tertentu untuk beri maksud berlainan daripada apa yang ingin disampaikanya.
Katanya, beliau tidak memeriksa hal berkenaan kerana pada waktu itu kerana pihak Bank Negara Malaysia, bank penerima dana tersebut serta para pegawainya tidak langsung beri ‘isyarat atau teguran’ ada yang tidak betul.
Mengulas dengan lebih lanjut, Najib menjelaskan bahawa hubungan beliau dengan Almarhum Raja Abdullah, pemerintah Arab Saudi sebelum ini sangat akrab sejak tahun 2009.
Katanya, baginda sendiri yang menawarkan bantuan berkenaan dan kemudian diuruskan oleh dua putera dari keluarga diraja Arab Saudi.
Menurut Najib, semua surat-menyurat mengenai penyaluran dana tersebut ada dan saluran dana pertama datang dari Kementerian Kewangan Arab Saudi.
Jelas Najib, ini berbeza dengan semua dana 1MDB kerana ia adalah daripada sumber pinjaman dan tidak mungkin beliau akan mencuri wang yang kemudian perlu dibayar balik.
“Apatah lagi dimasukkan ke dalam akaun peribadi yang diketahui puluhan pegawai bank. Tidak mungkin perkara ini boleh disembunyi atau dielak daripada dikesan oleh pihak berkuasa,” ujar beliau dalam nada sinis.
Walau bagaimanapun, Najib mengaku sesungguhnya bukan mudah untuk beliau menjelaskan perkara itu memandangkan dirinya telah pun didakwa di mahkamah.
Namun begitu, beliau percaya bahawa pihaknya mempunyai butir-butir dan saksi lengkap yang akan dapat memperjelaskan mengenai perkara itu apabila tiba masanya.
“Saya berdoa agar kebenaran akan timbul dan Insya-ALLAH saya dapat membersihkan nama saya. Tidak ada sesiapa yang tidak akan tersinggung apabila dilempar dengan pelbagai tohmahan.
“Saya ingin nyatakan dengan tegas bahawa saya bukan seorang pencuri, perompak, mahu pun penyangak,” ujar Najib merujuk isu panas tersebut. – Agensi/Mynewshub.TV