KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia perlu memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi (STI) untuk memacu peningkatan ekonomi, kemajuan sosial dan sumber baharu pertumbuhan.
Perdana Menteri menegaskan negara perlu meningkatkan peranannya untuk menjadi lebih kompetitif.
“Untuk membawa sektor ekonomi Malaysia ke tahap lebih tinggi, kita perlu memastikan penguasaan ilmu secara intensif dan meluas dengan memanfaatkan sains dan teknologi,” katanya semasa berucap pada majlis Penganugerahan Felo Akademi Sains Malaysia dan pengumuman saintis penyelidikan terbaik negara di sini, hari ini.
Ekosistem inovasi negara, katanya perlu direkayasakan agar STI berkembang maju bukan sahaja pada masa kini tetapi juga di masa depan.
Dr Mahathir mengingatkan bahawa jurang antara Malaysia dan negara maju semakin lebar dan potensi untuk menghampiri kemajuan negara-negara berkenaan semakin mencabar.
Sebaliknya, beliau berkata negara yang membangun pada tahap yang serupa dengan Malaysia pula membangunkan ekosistem inovasi mereka secara intensif dan bersaing bagi pasaran, tenaga kerja mahir dan pelaburan langsung asing yang sama.
“Potensi sesetengah negara ini untuk mengatasi dan malah melangkaui Malaysia adalah amat tinggi,” kata perdana menteri.
Dr Mahathir berkata Malaysia memerlukan ekosistem inovasi yang berfungsi sepenuhnya yang mampu merapatkan jurang inovasi yang wujud ketika ini.
Beliau berkata usaha sama rangkaian inovasi perlu dijalin antara sektor awam, perniagaan dan industri, penyelidikan dan pembangunan dan masyarakat sivil.
“Menerusi ini, penstrukturan ekonomi pesat dapat dicapai, memulakan penyebaran transformasi sosial secara meluas dengan penyertaan semua pihak yang berkenaan,” katanya.
Menyatakan STI dapat membuka laluan bagi menjana sumber baharu pertumbuhan dan membantu negara untuk mencapai kecemerlangan global, Dr Mahathir berkata fokus perlu diberikan pada bidang keutamaan seperti bioteknologi, teknologi digital, teknologi hijau dan nanoteknologi.
Dalam ucapannya itu, beliau turut menzahirkan harapan agar Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 yang beliau lancarkan semalam akan dilaksanakan dengan sebaiknya untuk memasuki era baharu ilmu pengetahuan berintensifkan nilai diwujudkan bagi industri.
Untuk itu, beliau berkata projek kereta nasional ketiga akan menjadi pemulaan baik untuk pelaksanaan beberapa strategik yang digariskan dalam dasar itu.
“Saya percaya Malaysia berada di kedudukan baik untuk melaksanakan cabaran ini (kereta nasional baharu) kerana industri automotif adalah perintisnya berdasarkan penguasaan ilmu dan kapasiti inovasi yang dijana untuk sekian lama sejak pertama kali Malaysia terbabit dalam pembuatan kereta,” katanya.
Majlis hari ini menyaksikan pentauliahan 29 Felo baharu ASM. Akademi itu setakat ini mempunyai 352 Felo termasuk 28 Felo Kanan. – BERNAMA
