TEGAS… Ketika Pakatan Harapan (PH) takut ulas isu rusuhan di Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor, Exco Selangor, V. Ganabatirau biadab dakwa ia angkara samseng Muslim.
Berang tohmahan fitnah itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) gesa supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning itu dilucut jawatan sebagai exco negeri.
Ia sebagai pengajaran ekoran kenyataan celupar pemimpin DAP itu yang tular menerusi media sosial berhubung rusuhan di kuil berkenaan semalam disebabkan tindakan kumpulan gengster Islam ceroboh kawasan tersebut.
Ketuanya, Mohd. Dendera Billah Zamzuri berkata, Ganabatirau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin telah buat kenyataan berbaur perkauman.
Ini dapat dilihat menerusi akaun sosial Facebook milik dirinya sendiri semalam sebelum disunting berhubung insiden rusuhan kuil itu dengan tuduh ada kumpulan pelampau Islam yang melakukan serangan berkenaan.
“Kami percaya kenyataan beliau itu berniat jahat untuk beri tanggapan dan persepsi negatif terhadap umat Islam di negara ini. Tuduhan melulu tanpa menunggu laporan penuh pihak polis merupakan perbuatan jahat.
“Ia dibimbangi boleh membawa ketidak sejahteraan dan menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6, di sini hari ini.
Laporan polis tersebut turut dibuat bersama-sama dengan Persatuan Penduduk Seksyen 6, Kelab Pencegah Jenayah Selangor dan anggota kariah Surau Seksyen 6.
Semalam, Ganabatirau menerusi laman sosial Facebooknya telah muat naik kenyataan konon terdapat sekumpulan orang Islam terlibat dalam insiden itu sebagai cubaan untuk mewujudkan ketidakharmonian dalam kalangan kaum.
Beliau bagaimanapun telah mengubah kenyataannya dalam laman sosial miliknya itu selepas teruk mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai rasis atau berbaur perkauman.
Mohd. Dendera memberitahu, Menteri Besar Selangor seharusnya mengkaji semula kedudukan Ganabatirau sebagai Exco kerana tidak wajar seorang wakil rakyat boleh menimbulkan sesuatu ketegangan di antara kaum.
“Sebagai Exco dan ADUN, beliau ada pengaruh terhadap rakyat dan setiap kenyataan dapat kepercayaan rakyat. Beliau sepatutnya bekerja untuk memastikan keharmonian rakyat bukannya meniup ketegangan kaum,” ujarnya.