JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas di Sungai Johor di Kampung Tembioh, dekat Kota Tinggi, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi Penolong Kanan Penguasa Bomba Azman Jantan.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan lelaki berkenaan pada 12.53 tengah hari tadi selepas motosikal dan topi keledarnya ditemukan di tepi sungai itu.
“Enam anggota bomba bersama sebuah jentera dan sebuah bot dihantar ke lokasi tersebut bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Yong Sing, 83,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Azman berkata operasi SAR itu yang turut dibantu empat anggota polis meliputi kira-kira tiga kilometer radius dari kawasan motosikal lelaki itu ditinggalkan.
“Tiada maklumat lanjut diperolehi berkaitan waktu Yong Sing keluar dari rumah. Anaknya perasan motosikal bapanya tiada di rumah sejak 4 pagi tadi lalu membuat laporan polis,” katanya. – BERNAMA