KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang mengeluarkan garis panduan papan tanda jalan yang baharu di peringkat Persekutuan dalam usaha memartabatkan penggunaan Bahasa Malaysia.
Menteri berkenaan, Zuraida Kamaruddin berkata pada masa ini polisi dan penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan hanya membabitkan papan iklan.
“Di peringkat Persekutuan memang tiada ketetapan itu, jadi apabila timbul isu ini (di Selangor) Insya-Allah kementerian akan lihat (review) semula dan keluarkan garis ketetapan yang lebih tegas,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Pada Isnin lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya semua papan tanda jalan di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggalkan dan digantikan dengan papan tanda yang menggunakan hanya Bahasa Malaysia.
Sementara itu, Zuraida berkata 70 Pegawai Kemajuan Perkampungan (PKP) Kampung Baru seluruh negara akan dilantik berkuat kuasa 1 Jan depan.
Beliau berkata Bahagian Kampung Baru yang sebelum ini di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri kini telah dipindahkan ke kementerian beliau bermula 13 September lepas.
“Untuk itu kami kaji semula pelantikan-pelantikan politik dan harus digantikan dengan pengambilan baharu yang akan dimulakan 1 Jan ini,” katanya.
Zuraida berkata antara kriteria yang ditetapkan kementerian itu dalam pelantikan PKP ialah mewajibkan sebanyak 30 peratus terdiri daripada wanita, tempoh lantikan selama dua tahun, boleh berbahasa Melayu dan umur tidak lebih 60 tahun.
“Mereka ini akan menyelia mengikut zon-zon di seluruh negara dan memastikan pembudayaan masyarakat seperti menjaga kebersihan persekitaran, keselamatan dan peka dengan polisi-polisi kerajaan,” katanya. – BERNAMA

