KUALA LUMPUR – Segala persiapan teknikal berkaitan pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan telah dimulakan dan butiran terperinci inisiatif itu akan diumumkan minggu depan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Menurutnya, maklumat tambahan mengenai cara kementeriannya menggunakan peruntukan itu akan diumumkan Isnin depan.
“Kita akan lancarkan inisiatif ini tidak lama lagi dan perkhidmatan itu akan dimulakan seperti diumumkan iaitu pada 1 Jan 2019,” katanya kepada media selepas pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pembentangan belanjawan itu, Lim berkata kerajaan memperuntukkan RM240 juta untuk memperkenalkan pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL mulai 1 Jan 2019. – BERNAMA

