KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Low Taek Jho atau Jho Low mungkin memasuki China menggunakan nama lain.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini kerana berdasarkan maklumat yang diterima daripada Duta Besar China ke Malaysia sebelum ini, ahli perniagaan yang menjadi buruan itu tidak memasuki republik berkenaan menggunakan pasport Malaysia.
“Saya bercakap dengan Duta Besar China ke Malaysia dan beliau memberi jaminan bahawa berdasarkan rekod negara berkenaan, tiada rakyat kita bernama Jho Low yang tidak memasuki China menggunakan pasport Malaysia
“Itu sudah pasti kerana dia dipercayai memiliki beberapa pasport dengan nama berbeza dan ia sudah menjadi cerita lain. Namun berdasarkan rekod mereka, Jho Low tidak berada di China.
“Sudah tentu kita harap ia adalah keadaan sebenar kerana jika Jho Low tersilap langkah , pihak berkuasa mereka pasti akan membantu kita mengenal pasti dan mencarinya,” katanya ketika ditemubual oleh sebuah stesen radio, hari ini.
Menurut Guan Eng, pihak republik berkenaan memberi kerjasama sepenuhnya kepada negara dalam memburu ahli perniagaan yang berasal dari Pulau Pinang itu.
Katanya, kerajaan juga meneruskan pencarian dan sekiranya lokasi Jho Low dikenal pasti, Malaysia akan meminta kerjasama negara terbabit untuk mengekstradisinya.
Ahli perniagaan berusia 37 itu sebelum ini dilaporkan turut memiliki pasport kerajaan St Kitts and Nevis namun ia sudah dibatalkan pada Jun lalu.
Tindakan pembatalan pasport oleh Perdana Menteri Timothy Harris, itu dibuat selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mendakwa Jho Low terbabit dalam konspirasi pengubahan wang membabitkan berbilion ringgit dalam hasil yang haram. – BH ONLINE

