KUALA LUMPUR – Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat persiapan awal bagi menghadapi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan dengan mendapatkan khidmat pemain import serba boleh dari Sepanyol, Aaron Niguez.
JDT menerusi posting terbaharu dalam laman Facebook rasminya; Johor Southen Tigers memaklumkan pemain berkenaan yang lahir daripada akademi Valencia sebelum ini, pernah bermain untuk beberapa kelab di Sepanyol termasuk Real Oviedo, Tenerife, Braga, Elche, Almeria, Recreativo de Huelva dan Celta de Vigo.
JDT menjelaskan pemain berusia 29 tahun itu boleh beraksi di pelbagai posisi termasuk ‘false-9’, penyerang kedua, posisi tengah menyerang, posisi sayap kiri dan juga sayap kanan.
‘False 9’ berperanan mengelirukan pihak lawan bagi memudahkan seseorang penyerang tulen untuk menjaringkan gol dalam sesuatu perlawanan.
Aaron merupakan abang kepada Saul Niguez yang beraksi dengan kelab Liga Sepanyol, Atletico Madrid.
Beliau merupakan pemain import kedua ditandatangani JDT selepas pertahanan tengah bertubuh sasa dari Brazil, Mauricio dos Santos Nascimento. – BERNAMA