BINTANGOR – Keadaan jalan menuju ke Rumah Uging Anak Ugian di Nanga Melayung, Merurun, Julau menyebabkan pihak Bomba dan Penyelamat Bintangor lambat tiba untuk memadamkan kebakaran di rumah panjang itu semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, selain terletak kira-kira 77 kilometer dari balai tersebut, untuk tiba ke rumah tersebut pihaknya terpaksa melalui jalan balak yang mempunyai kecerunan di antara 10-15 peratus di sesetengah tempat.
“Jentera bomba tidak dapat masuk ke simpang Jalan Merurun kerana jalan balak yang mempunyai kecerunan 10-15 peratus. Peralatan operasi seperti pam dan kelengkapan hos terpaksa dipindahkan ke kenderaan pacuan empat roda untuk meneruskan perjalanan ke lokasi kebakaran.
“Apabila tiba dilokasi kebakaran, kesemua 15 pintu rumah panjang yang dibina dengan binaan konkrit dan kayu telah musnah dan ranap sama sekali. Pihak bomba hanya membuat ‘overhaul’ dan tiada operasi pemadaman dilakukan kerana tinggal sisa bara api,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nicholas berkata pihaknya telah mengerahkan 11 anggota dengan sebuah jentera dan sebuah kenderaan pacuan empat roda digerakan ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada 5.05 petang.
Selain itu katanya, sumber air terbuka dari Sungai Merurun terletak pada jarak kira-kira 152 meter dari lokasi rumah panjang tersebut yang terletak di atas bukit.
Nicholas berkata, dalam kejadian itu, lima penduduk termasuk seorang warga emas wanita berusia sekitar 80-an mengalami melecur pada tangan dan belakang badan semasa keluar menyelamatkan diri dari rumah panjang itu.
“Empat lagi mangsa yang turut cedera ialah sepasang suami isteri berusia 41 tahun dan 49 tahun, seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an dan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun.
“Kesemua penduduk yang ada ketika itu sebenarnya sudah keluar menyelamatkan diri namun kelima-lima mangsa yang cedera masuk semula ke rumah panjang mereka untuk menyelamatkan dokumen-dokumen penting”, katanya.
Nicholas berkata, kebakaran yang disyaki berpunca daripada litar pintas itu mengakibatkan kesemua 89 penghuni rumah panjang tersebut hilang tempat tinggal. – BERNAMA

