KAWAL… Saranan ini pernah disuarakan semasa era Barisan Nasional (BN) pada 2015 sebelum dibatalkan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah dikritik banyak pihak.
Asalnya cadangan itu timbul bagi kawal gejala sosial dalam kalangan remaja yang sering lepak buang masa di premis tersebut namun ia juga bantu pekerja balik lewat malam untuk beli makanan kerana tidak sempat masak di rumah.
Bagaimanapun kali ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) saran kerajaan agar henti pemberian lesen kepada restoran yang beroperasi 24 jam ke arah atasi risiko penyakit kencing manis atau diabetes melibatkan masyarakat.
Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, budaya makan lewat malam dalam kalangan orang ramai pada ketika ini dikesan merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan penghidap kes penyakit tersebut saban tahun.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya tiada lagi syarikat swasta khususnya di sektor perkilangan yang menetapkan syif bekerja pada waktu malam bagi mengehadkan orang ramai kepada aktiviti makan lewat malam.
“Kita juga menggesa pihak kerajaan supaya menutup pusat hiburan yang beroperasi sehingga lewat malam yang turut menyumbang kepada risiko penyakit diabetes,” kata Mohamed kepada pemberita di George Town hari ini.
Ketika ini ujar beliau, Malaysia catat rekod tersendiri apabila berjaya mempunyai kadar paling tinggi penghidap diabetes di benua Asia malah merupakan salah sebuah negara dengan kadar tertinggi pesakit tersebut di dunia.
Menurut Persekutuan Diabetes Antarabangsa, sebanyak 3.5 juta kes dicatatkan di negara ini tahun lalu manakala kira-kira 54 peratus penduduk dewasa kini sama ada obes atau berat badan berlebihan. – Agensi/Mynewshub.TV
* video hiasan…

