IPOH — Penasihat Khas Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menegaskan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Ekskutif Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menolak peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim selaku presiden perlu dihormati semua pihak kerana ia berpandu kepada prosedur yang ditetapkan.
Beliau yang juga bekas Presiden PAFA pada 2010 hingga 2015 berkata, keputusan yang dibuat jawatankuasa itu tidak boleh dicabar mana-mana pihak memandangkan ia merupakan persetujuan bersama melibatkan semua anggota gabungan PAFA.
“Keputusan tertinggi dalam organisasi sukan seperti PAFA ini adalah berpandu kepada mesyuarat jawatankuasa eksekutif. Mereka yang buat keputusan nak pecat, nak lantik dan sebagainya.
“Apa yang jawatankuasa PAFA buat itu prosedur mereka dan dibenarkan. Soal penyokong (pandangan) itu lain tapi ada kalanya kita juga perlu memikirkan persepsi di luar dalam kita membuat keputusan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) di sini, hari ini.
Semalam, Naib Presiden 1 PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohamad menyatakan Jawatankuasa Eksekutif PAFA memberi masa selama 14 hari kepada Hasnul untuk mempertimbangkan semula perletakan jawatan yang dibuat pada 8 November lalu.
Beliau turut berpendapat Hasnul perlu diberi peluang melaksanakan perancangan dan wawasan yang ingin dicapai khususnya dalam memajukan arena bola sepak negeri.
Selain itu, Zainol berkata, pada ketika ini terpulang kepada Hasnul sama ada ingin mempertimbangkan semula perletakan jawatan berkenaan atau kekal dengan keputusan sebelum ini.
“Itu terserah pada beliau untuk buat keputusan. Secara peribadi saya rasa bila kita dah buat satu keputusan kita perlu tetap dengan keputusan yang kita buat demi kepentingan organisasi yang kita pimpin,” katanya.
Mengulas desas-desus beliau antara calon yang disebut-sebut bakal kembali menerajui PAFA, katanya, segala keputusan terserah kepada menteri besar untuk menentukannya.
“Kalau saya mahu sebenarnya di peringkat awal memang menteri besar minta saya jadi presiden. Cuma saya cakap, saya minta maaf, saya dah pernah duduk di situ, bagi peluang pada exco yang lain,” katanya.
Beliau yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik berkata, pihaknya berharap perkara tersebut dapat diselesaikan segera dan sebarang keputusan yang dibuat perlu dihormati. – BERNAMA