KUALA LUMPUR – Kegembiraan jelas terpancar di wajah Syafiyah Nur Zahra Mohd Faizal, 6, apabila impiannya menjejakkan kaki ke Menara Kuala Lumpur (KL) akhirnya tercapai.
Ibunya, Siti Halijah Mahidin, 34 berkata Zahra menanam hasrat untuk melawat Menara KL sejak tahun lepas ketika dia sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Dia (Zahra) sering bertanya lampu apakah yang berkelip-kelip merah yang dilihat dari wad hospital dan apabila saya kata itu Menara KL, dia menyuarakan hasrat untuk ke sini,” katanya.
Zahra anak kedua daripada empat adik beradik ini menghidap kanser mata sejak bulan Mei tahun lepas dan mempunyai ketumbuhan dalam otak yang disedari sejak September tahun ini.
Siti Halijah berkata rawatan kimoterapi dan radioaktif kini tidak dapat membantu menyembuhkan penyakit anaknya yang kini berada di tahap empat kanser itu.
“Sebelum ini ada pihak membantu realisasikan impian Zahra untuk ke Pulau Langkawi dan kini Menara KL. Dia mahu menaiki MRT (Transit Aliran Massa) dan kami akan cuba untuk tunaikannya walaupun keadaan kesihatannya kadang-kadang tidak mengizinkan.
“Zahra kini kurang selera makan, sawan dan tidak boleh terlalu gembira tetapi kami cuba untuk menunaikan hasratnya dengan bantuan keluarga dan orang ramai yang prihatin dengan nasib kami, ” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL Sdn Bhd Datuk Rozlan Mohamed berkata pihaknya gembira apabila dapat menunaikan hajat Zahra yang diketahui sejak bulan lepas.
“Kami berbesar hati menerima kunjungan Zahra dan ini adalah inisiatif kita menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu mereka yang memerlukan, ” katanya ketika ditemui media selepas menerima kunjungan Zahra dan keluarga di Menara Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Rozlan berkata pihaknya menawarkan harga promosi pelantar pemandangan kepada pengunjung tempatan sempena musim cuti sekolah.
Menurutnya, promosi yang bermula semalam sehingga 31 Dis ini menawarkan empat tiket percuma untuk kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah dengan pembelian dua tiket dewasa (ibu bapa).
“Kita menjangkakan lebih 1,500 pengunjung tempatan sehari akan melawat Menara KL berbanding 600 orang (pada keadaan biasa), ” katanya. – BERNAMA

