KUALA LUMPUR – Barisan anak buah Chiew Chun Yong menempah tiket ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018 selepas menundukkan pasukan tuan rumah, Indonesia dalam perlawanan kedua Kumpulan A, hari ini.
Pada aksi berlangsung di GOR Universiti Negeri Yogyakarta itu, skuad negara terikat 4-4 pada masa rehat sebelum bangkit pada separuh masa kedua dengan menyumbat tiga lagi gol manakala pasukan lawan hanya mampu menambah satu jaringan untuk keputusan akhir 7-5, demikian menurut laman Facebook Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Biarpun berbaki satu perlawanan menentang Myanmar esok, skuad negara yang mengumpul enam mata daripada dua perlawanan sudah layak ke separuh akhir yang akan berlangsung Jumaat ini.
Pasukan kebangsaan membuka tirai kejohanan berkenaan dengan membenam Kemboja 10-0 pada Isnin.
Malaysia kini hanya menanti lawan di separuh akhir antara Thailand dan Vietnam yang masih bersaing bagi menentukan juara Kumpulan B.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Harimau Malaya di Kejuaraan Futsal AFF sejak ia dipertandingkan pada 2001, ialah muncul naib juara empat kali termasuk pada tahun lalu yang berlangsung di Vietnam, setelah kecundang 3-4 dalam masa tambahan kepada Thailand dalam perlawanan akhir. – BERNAMA