KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod dilantik semula sebulat suara sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Institusi-Institusi Perhutanan Asia Pasifik (APAFRI) untuk satu penggal lagi mulai 2018 sehingga 2021.
Dalam satu kenyataan hari ini, FRIM berkata keputusan ini diumumkan ketika Mesyuarat Agung APAFRI kelapan di Putrajaya hari ini.
“Abd Latif telah dilantik pada kali pertamanya sebagai Pengerusi APAFRI semasa Mesyuarat Agung yang kelima di Kuala Lumpur pada 2009 dan sekali lagi di Guangzhou, China pada 2012 pada mesyuarat keenam.
Abd Latif merupakan Pengerusi APAFRI pertama dipilih untuk kali ketiga,” kata kenyataan tersebut.
Dalam ucapannya pada mesyuarat itu, Abd Latif berkata FRIM akan terus komited menjadi tuan rumah kepada sekretariat persatuan berkenaan.
Sementara itu, Dr Gan Kee Seng, Pengarah Bahagian Keluaran Hutan FRIM yang telah berkhidmat dengan Sekretariat APAFRI sejak 2015, akan terus dikekalkan sebagai Setiausaha Eksekutif APAFRI untuk menyelia operasi sekretariat.
Turut hadir Dr Park Jung Hwan, bekas Pengerusi APAFRI dari Korea.
APAFRI merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang mempunyai 69 ahli institusi dari 25 negara termasuk negara-negara Asia Tenggara, China, Jepun, Korea dan Australia.
Ia mempunyai kepentingan yang aktif dalam penyelidikan perhutanan, pemuliharaan, pengurusan dan perkara-perkara berkaitan perhutanan di rantau Asia Pasifik. – BERNAMA