KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyegerakan usaha untuk mewujudkan satu dasar kebangsaan bagi menyeragamkan undang-undang berkaitan pemilikan tanah untuk membina rumah ibadat, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata ia perlu disegerakan memandangkan terdapat keperluan untuk mendapatkan kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum membina rumah ibadat.
“Saya fikir sudah tiba masanya untuk saya melihat kembali dan membuat satu dasar kebangsaan (diseragamkan). Saya perlu semak kembali, jika tidak memerlukan banyak pindaan kita boleh buat secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan meluluskan usul dan menjadikankan syarat bahawa rumah ibadat seperti masjid, kuil atau gereja tidak boleh dibina tanpa kebenaran PBT sebagai langkah untuk mengelak insiden serupa seperti di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights daripada berlaku. – BERNAMA

