IPOH – Penduduk dan pengunjung di bandar raya ini bakal berpeluang menikmati keindahan Ipoh tanpa perlu risau tentang pengangkutan apabila perkhidmatan bas ‘Hop-On Hop-Off’ beroperasi bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar King berkata untuk permulaan, perkhidmatan itu akan mengambil penumpang di lapan perhentian antaranya Stesen Keretapi Tanah Melayu Ipoh, Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael, bangunan The Octagon, Little India serta Masjid Datuk Panglima Kinta.
“Kita akan melakukan percubaan dahulu dan sekiranya mendapat sambutan kita akan menambah laluan bas berkenaan supaya para penumpang khususnya pelancong dapat menikmati sepenuhnya pemandangan dan keindahan yang ada di bandar raya ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Talk on Public Awareness’, di sini hari ini.
Menurutnya perkhidmatan bas itu hanya pada hujung minggu bermula 8 pagi hingga 5 petang.
Harga tiket akan ditentukan kemudian, katanya.
Katanya beliau juga yakin perkhidmatan tersebut dapat mengurangkan sedikit masalah kesesakan trafik di bandar raya ini yang sekarang semakin serius. – BERNAMA