KUALA LANGAT – Penduduk di sekitar Taman Saujana Putra Mira, di sini, panik apabila rumah mereka dinaiki air berikutan ban pecah di Ladang Teh BOH, Bukit Kemandul, petang semalam.
Smart Selangor Command Centre (SSCC) dalam satu kenyataan berkata kejadian berlaku pada jam 5.45 petang.
“Hasil maklumat mendapati, ban yang pecah adalah di lokasi sama dengan kejadian sebelum ini.
“Kejadian itu menyebabkan penduduk Taman Saujana Putra Mira terkesan akibat limpahan air. Dikhuatiri akan berlaku limpahan air lebih besar sekiranya hujan kembali lebat,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah berada di lokasi untuk tindakan lanjut.
“SSCC akan terus memantau dan membuat tindakan susulan kejadian yang berlaku serta menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.
NSTP difahamkan, satu pusat pemindahan juga akan dibuka di Dewan Orang Ramai, Dengkil.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang, berkata, sembilan pegawai dan anggota dikerah ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, setibanya di lokasi pihaknya mendapati terdapat tebing pecah di tepi jalan berkenaan yang dipercayai akibat daripada limpahan air dari ladang bersebelahan.
“Kejadian itu menyebabkan kawasan perumahan di situ dinaiki air. Kita membuat pemantauan tebing dan aliran air di lokasi kejadian bersama penduduk,” katanya. – BH ONLINE

