SEPANG – Pelanggan RHB Banking Group (RHB) boleh mengumpul mata ganjaran program kesetiaan Air Asia Bhd, AirAsia BIG points yang membolehkan mereka menebus pelbagai barangan termasuk tiket penerbangan percuma.
Bagi setiap RM3,000 transaksi, pelanggan RHB akan memperoleh 500 BIG points untuk menebus tiket penerbangan percuma dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke Langkawi atau Phuket.
Tawaran itu tersedia pada suku pertama 2019.
Ganjaran tersebut adalah hasil perkongsian strategik antara AirAsia Big Loyalty dan RHB yang dimeterai di ibu pejabat AirAsia, RedQ, di sini hari ini.
Pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes yang juga Pengarah BIG Loyalty Sdn Bhd serta Pengarah Urusan RHB Banking Group Datuk Khairussaleh Ramli menandatangani memorandum persefahaman tersebut, disaksikan Pengerusi Eksekutif AirAsia Bhd Datuk Kamarudin Meranun.
Khairussaleh dalam ucapannya berkata ganjaran BIG points kepada pelanggan RHB tidak hanya terhad kepada transaksi kad kredit bank itu, malah merangkumi pelbagai perkhidmatan dan produk perbankan termasuk pelanggan akaun simpanan dan unit amanah.
Pada majlis itu, Fernandes turut mengumumkan pelantikan Spencer Lee sebagai Ketua Pegawai Eksekutif BIG Loyalty Sdn Bhd, berkuat kuasa hari ini. – BERNAMA