SYED Saddiq Syed Abdul Rahman nampaknya masih belum berani menyatakan kesediaan berdialog dengan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung isu ketuanan Melayu.
Sejak menyatakan kesediaan berdialog tempoh hari, Menteri Belia dan Sukan yang juga ketua pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu masih tidak menunjukkan kesungguhan.
Hari ini, Asyraf sekali lagi menjemput Syed Saddiq untuk berdialog bagi meleraikan kekeliruan yang dibuat pemimpin muda itu.
Asyraf sekali lagi menyeru Syed Saddiq berdialog isu ketuanan Melayu semasa berucap di himpunan bantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Jalan Tunku Abdul Rahman hari ini.
Asyraf bersama Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi memimpin perarakan parti-parti politik Melayu dan puluhan pertubuhan bukan kerajaan menyatakan penolakan terhadap agenda PH menerima ICERD hari ini.
Perarakan bermula di Masjid Jamek Kuala Lumpur dan berakhir di Jalan Tunku Abdul Rahman.
Kelewatan menyatakan kesediaan dan menetapkan masa debat itu seolah-olah menunjukkan Syed Saddiq dan PPBM sendiri mahu isu ini terus tenggelam dan mengelak daripada ditanya soalan-soalan kritikal oleh Asyraf.
Syed Saddiq telah menerima “back up” daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi alasan kenyataan pemimpin muda itu disalah ertikan, sedangkan jelas beliau sendiri menghina ketuanan Melayu yang ditafsir secara salah.
Syed Saddiq kemudian melanjutkan penjelasannya dalam satu artikel dan pendirian ini terus dipertahankan beliau dan penyokong-penyokong PH.
Pandangan Syed Saddiq ini selari dengan pendirian Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sering mengutuk orang Melayu dalam ucapan-ucapannya selama bergiat dalam politik.
Antara ucapan paling diingati ialah ucapan “Melayu mudah lupa” yang mengecam orang Melayu yang didakwa tidak belajar dari sejarah sendiri.
Kenyataan Syed Saddiq itu bukan sekadar satu pandangan peribadi dalam satu ucapan, tetapi lebih kepada satu pandangan atau sikap kerajaan PH yang ingin disampaikan kepada umum.
Kenyataan merendahkan konsep ketuanan Melayu itu dibuat untuk membolehkan normalisasi pandangan menolak ketuanan Melayu, yang berkait rapat dengan bukan sahaja kedudukan istimewa Melayu tetapi juga status Islam sebagai agama negara.
Ini dibuat pada masa kerajaan PH menyatakan hasrat menerima sepenuhnya triti ICERD yang akan meruntuhkan asas-asas negara Malaysia yang tuannya ialah Melayu dan Islam.
Maka tidak hairanlah Syed Saddiq nampak mahu mengelak daripada memberi komitmen untuk berdialog dengan Ketua Pemuda UMNO dalam isu ini. – Mynewshub.tv