DAMSYIK – Sekurang-kurangnya 50 orang awam dirawat semalam selepas dipercayai terhidu gas beracun yang dilancarkan kumpulan pemberontak Syria di kota Aleppo, kata media rasmi kerajaan.
Kebanyakan mangsa yang dimasukkan ke hospital mengalami masalah sesak nafas dan penglihatan yang kabur, dua daripadanya termasuk seorang kanak-kanak kini kritikal, kata doktor.
Ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain, Rami Abdurrahman berkata penduduk menghidu bau gas di Aleppo sebaik peluru berpandu itu dilancarkan.
Komander pemberontak dan pemimpin pembangkang menolak laporan kerajaan itu, dan menuduh Damsyik cuba mencabuli perjanjian gencatan senjata dan usaha untuk memulakan rundingan politik.
Awal semalam, kerajaan menyerang kubu kuat pemberontak di wilayah berjiran Idlib mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang awam.
Pegawai kesihatan, Hajj Taha berkata jumlah mangsa yang tercedera kini mencecah 50 orang.
Menurutnya, gejala menunjukkan gas yang digunakan adalah klorin.
Ujian lanjut perlu dilakukan, katanya.
Peluru berpandu itu dipercayai meledak di kawasan kejiranan Al-Khalidiya, dan angin menyebabkan ia tersebar, kata ketua polis Aleppo, Essam Al-Shali.
Al-Shali berkata, gas itu turut menjejaskan dua kawasan lain di bandar berkenaan namun tiada kematian dilaporkan. – Agensi