MELAKA – Kerajaan negeri Melaka menggalakkan usahawan tani di negeri ini agar mempergiat penanaman sayur-sayuran pada skala lebih besar dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap produk dan perkhidmatan import sekali gus mengkomersialkan produk tempatan.
Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee berkata inisiatif itu perlu diambil bagi menampung keperluan industri dan permintaan penduduk negeri itu.
“Jenis sayur import yang boleh dikomersialkan bagi memberi peluang kepada pengusaha tempatan termasuk cili, timun dan sayuran berdaun seperti sawi dan bayam.
“Setakat ini, kebergantungan Melaka terhadap sayur-sayuran yang diimport dari pasar borong luar (Semenanjung) antaranya Kuala Lumpur, Johor dan Cameron Highland melebihi 60 peratus berikutan jumlah pengeluaran (tanaman) masih belum dapat menampung keperluan dalam negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Norhizam berkata demikian selepas merasmikan Pusat Pengumpulan Ladang dan Jualan Terus dari Ladang (JDTL) di Bukit Katil di sini yang turut dihadiri Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka Che Samudin Hassan.
Program itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menangani kenaikan harga barangan terpilih dan memberi penjimatan kepada pengguna memandangkan harga yang ditawarkan lebih murah antara lima hingga 20 peratus berbanding harga pasaran.
Norhizam berkata FAMA Melaka akan memperluaskan program JTDL di dua lokasi lain di daerah Alor Gajah iaitu Melekek dan Pengkalan Balak dekat sini.
“Ia akan menjadi antara program yang akan dilaksanakan oleh FAMA secara berterusan untuk menyediakan medium penjimatan perbelanjaan kepada pengguna,” katanya.
Seorang kakitangan swasta yang berkunjung ke pusat jualan itu, Rabiah Osman, 23, dari Kampung Bachang berkata program berkenaan memberi manfaat kepada penduduk luar bandar terutamanya golongan yang berpendapatan rendah.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, saya akui agak terkesan dengan kenaikan harga barang. Oleh itu, saya merebut peluang ini untuk membeli barang keperluan berikutan terdapat perbezaan harga yang ditawarkan.
Namun, saya berharap agar kerajaan dapat menjalankan program seperti ini dengan lebih kerap bagi mengelakkan orang ramai pulang hampa apabila barangan yang ingin dibeli habis terjual,” katanya yang datang bersama rakannya. – BERNAMA

