GEORGETOWN – Jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kerajaan Pulau Pinang untuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh di pembinaan jalan berkembar Paya Terubong pada 19 Oktober lalu akan mulakan siasatan minggu ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa khas itu berkata, laporan penuh siasatan insiden itu dijangka siap dalam tempoh sebulan.
“Kita harap dapat bagi laporan secepat mungkin sebab ketua menteri pun dah bagi komitmen bahawa kerajaan negeri akan membuat tindakan susulan secepat mungkin. Pihak lain pun dah mula prosiding siasatan seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), polis dan pihak berwajib yang lain.
“Minggu ini kita akan mulakan, kita kumpulkan orang-orang yang terlibat. Saya harap kita dapat siapkan secepat mungkin, dianggarkan sebulan lebih dapat tentukan hasil penemuan,” katanya selepas merasmikan Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari di sini, hari ini.
Rabu lalu, Pulau Pinang mengumumkan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh itu yang turut dianggotai Exco Kerja Raya, Zairil Khir Johari; seorang jurutera daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan wakil Institut Kejuruteraan Malaysia negeri.
Kejadian tanah runtuh yang dilaporkan berlaku di tapak projek jalan berkembar itu mengakibatkan sembilan pekerja asing maut manakala empat cedera.
Insiden berkenaan adalah kejadian kedua seumpamanya berlaku di negeri ini selepas tanah runtuh di projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah tahun lalu meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan 10 warga asing.
Ditanya mengenai cadangan pertubuhan bukan kerajaan, Penang Forum, supaya kerajaan negeri mengambil dua ahlinya untuk menyertai jawatankuasa khas itu, Ahmad Zakiyuddin berkata jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan itu bukan satu suruhanjaya.
“Jangan salah anggap ini adalah satu suruhanjaya. Ini satu jawatankuasa untuk menasihati dan memberi maklumat kepada kerajaan negeri, setakat itu sahaja. Sebab kalau kerajaan negeri dapat maklumat daripada berbagai pihak sekarang ini agak sukar untuk mengambil tindakan seterusnya.
“Kita (jawatankuasa) ini adalah sebahagian daripada Exco yang akan menyiasat dan membuat kesimpulan bagi pihak Exco keseluruhannya. Kita cuma memberi nasihat kepada Exco saja. Exco boleh ambil tindakan lagi dan menggunakan penemuan yang diperoleh nanti,” katanya. – BERNAMA