KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melantik Datuk Takiyuddin Hassan sebagai Naib Presiden persatuan itu berkuatkuasa hari ini.
Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pelantikan itu dilakukan selepas beliau mendapat mandat daripada Exco KAFA dan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) pada kongres tahunan persatuan itu yang berlangsung pertengahan bulan ini.
Beliau berkata ia bagi mengisi dua kekosongan jawatan itu yang dikosongkan oleh Naib Presiden sebelum ini.
“Kami melantik Takiyuddin kerana beliau mempunyai pengalaman dalam pengurusan bola sepak bagi membantu KAFA menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
“Hanya satu lagi kekosongan bagi jawatan Naib Presiden yang belum diisi ketika ini dan kami mahu mengisinya dengan individu yang memiliki komitmen tinggi untuk bekerja dengan KAFA,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini dua Naib Presiden KAFA iaitu Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim meletak jawatan mereka berikutan tiada kesefahaman dan kata sepakat dalam menguruskan persatuan itu.
Untuk rekod, Takiyudddin yang juga anggota Parlimen Kota Bharu sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Exco Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia serta Timbalan Presiden KAFA dari 1996 hingga 1998.
Bibi Ramjani berkata dengan pelantikan tersebut, KAFA berharap agar Takiyuddin dapat membantu menaikkan kembali prestasi bola sepak Kelantan yang pernah dikenali sebagai antara gergasi bola sepak pantai timur.
“Pelantikan ini sah dan tidak melanggar peraturan dan dipersetujui PBJ. Takiyuddin akan memegang jawatan itu sehingga 2021,” katanya. – BERNAMA